Program motivasi bertujuan untuk mendorong pelajar agar berusaha mencapai prestasi akademik yang lebih tinggi. Melalui cerita dan pengalaman dari pelajar-pelajar yang telah mencapai kejayaan akademik, para pelajar dapat melihat contoh teladan dan terinspirasi untuk meningkatkan pencapaian mereka sendiri.
- Faedah-Faedah Menyertai Program Motivasi Kepada Pelajar
- Membuka minda pelajar tentang kepentingan motivasi diri
- Membentuk disiplin diri
- Memupuk semangat kepimpinan
- Memperbaiki kemahiran komunikasi
- Melahirkan ketrampilan yang unggul
- Menerapkan nilai agama dan moral dalam diri pelajar
Mutakhir ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan kerancakan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Kes-kes seperti pergaulan bebas, lumba haram dan sebagainya telah memberikan imej buruk kepada masyarakat kita kerana pelakunya terdiri daripada generasi muda yang merupakan pelajar-pelajar di sekolah.
Pelbagai punca dan faktor permasalahan ini berlaku namun pihak sekolah lazimnya menganjurkan program motivasi kepada pelajar di sekolah bagi memupuk sikap madani dalam diri mereka. Penganjuran program ini memakan perbelanjaan wang yang banyak dan mengambil masa dan tenaga daripada para guru bagi memastikan anak-anak murid mereka mendapat manfaat daripada penyertaan mereka. Persoalan yang timbul adalah apakah faedah-faedah program motivasi kepada diri pelajar?
Faedah yang paling mustahak dalam penganjuran program atau kem motivasi adalah ia membuka mata dan minda pelajar tentang kepentingan motivasi diri. Mungkin ibu dan bapa atau ahli keluarga di rumah terlepas pandang akan perkara ini tetapi pihak sekolah yang merupakan institusi pendidikan perdana seharusnya mendidik tentang pentingnya motivasi diri.
Hal ini demikian kerana ia bukan sahaja penting semasa pelajar di sekolah tetapi ia adalah santapan rohani untuk sepanjang kehidupan kita. Kebanyakan di antara pelajar yang tidak mempunyai pencapaian yang baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum didapati kurang mendapat motivasi diri.
Sekiranya mereka didedahkan dan sedar betapa mustahak untuk mempunyai motivasi diri yang utuh dalam menempuhi apa jua perkara pasti masyarakat yang inteligensia dan cakna dapat dilahirkan. Pelajar masa kini seharusnya sudah mengetahui minat dan masa hadapan yang diinginkan agar ibu bapa dapat membantu dalam merancang perjalanan yang menepati kehendak dan kemampuan pelajar.
Intihannya, jika pelajar mempunyai kemahuan dan disertakan dengan motivasi, anda pasti dapat mencapai cita-cita tersebut walau apa jua rintangan yang datang. Persis peribahasa Melayu, belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam.
Faedah lain yang akan diperoleh pelajar apabila menyertai program motivasi adalah membentuk disiplin diri. Pelajar akan didedahkan tips-tips atau cara untuk belajar dengan lebih mudah oleh perunding atau pakar motivasi yang terlatih. Perkongsian ini adalah kritikal kerana pelajar tidak tahu-menahu cara pembelajaran yang efektif kerana latar belakang dan kemampuan mereka adalah berbeza. Maka, fasilitator yang bertanggungjawab dalam program motivasi pelajar seharusnya memberikan solusi atau pendekatan kepada pelajar untuk menelaah atau mengulang kaji pelajaran dengan lebih baik.
Ibarat jauhari mengenal manikam. Sebagai contoh, teknik penulisan nota ringkas, penggunaan kad-kad untuk menguatkan hafalan dan cara mengenal pasti corak soalan yang bakal dikeluarkan dalam peperiksaan peringkat sekolah mahupun awam. Kesannya, pelajar akan bertambah rajin dan tercelik hati bahawa setiap di antara mereka mampu mencapai kejayaan dari segi akademik ataupun aktiviti di luar bilik darjah. Berbekalkan motivasi yang kuat, pelajar akan menjadi seorang yang tidak mengenal erti putus asa bak kata pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.
Pada masa yang sama, semangat kepimpinan dapat dipupuk dalam kalangan pelajar jika mereka menyertai program motivasi diri. Nilai kepimpinan diri seharusnya dimiliki oleh setiap individu menjelang kedewasaan kerana semakin kita membesar, semakin banyak tanggungjawab dan amanah yang akan dipikul dan perlu dilunaskan dengan baik. Dengan adanya kepimpinan diri yang tinggi pelajar akan mengutamakan perkara yang mustahak berbanding perkara remeh dan yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri mereka. Selain itu, penyertaan dalam kem-kem motivasi akan mendedahkan diri pelajar untuk menjadi seorang ketua.
Hal ini kerana peserta akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil secara rawak dan peluang untuk mengetuai kumpulan masing-masing wajar diambil supaya pelajar tahu bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin. Secara tidak langsung, pelajar akan menjadi seorang yang lebih baik berbanding ahli kumpulan masing-masing supaya menjadi contoh tauladan kepadda semua. Izharnya, penyertaan pelajar dalam kem motivasi dapat mencungkil potensi serta bakat pelajar dalam kepimpinan kerana manfaatnya kelak adalah berbaloi. Ibarat peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Di samping itu, pelajar juga dapat memperbaiki kemahiran komunikasi apabila menyertai program motivasi anjuran sekolah mahupun swasta. Tahukah anda bahawa kemahiran komunikasi adalah sangat penting khususnya apabila pelajar akan memasuki alam pekerjaan. Umum sedia maklum, manusia mempunyai pelbagai ragam dan sekiranya kita ingin menjadi seorang yang professional kita harus menguasai kemahiran komunikasi yang baik.
Selalunya program motivasi akan menjalankan aktiviti-aktiviti yang memerlukan penglibatan aktif daripada semua peserta. Maka, pelajar perlu meningkatkan keyakinan diri untuk menyumbang tenaga dan idea bagi menjayakan kumpulan dalam aktiviti yang dijalankan. Setelah meningkatkan tahap keyakinan, pelajar juga akan didedahkan untuk menyampaikan persembahan atau bercakap dihadapan khalayak ramai. Dengan bimbingan dan dorongan daripada fasilitator para pelajar pasti dapat memecahakn tembok yang sebelum ini menjadi penghalang kepada mereka dan tampil dengan sifat dan sikap yang lebih positif. Natijahnya, penyertaan rogram motivasi yang menjalankan pelbagai aktiviti dapat memperbaiki kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar kerana yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.
Sebagai konklusi, penganjuran program atau kem motivasi adalah medan terbaik untuk pelajar membentuk ketrampilan diri yang lebih unggul dan cemerlang. Pelajar seharusnya bersikap terbuka dan gemar untuk menyertai inisiatif-inisiatif yang direncana oleh pihak sekolah dalam membantu pelajar menjadi seorang manusia yang lebih baik. Guru-guru, ibu dan bapa serta perunding motivasi pula seharusnya sentiasa menggunakan pendekatan yang lebih menarik dan sesuai dengan persekitaran pelajar dalam menganjurkan program motivasi supaya dapat menarik minat mereka. Persis kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sesungguhnya jika usaha ini diperkasa dan dilaksana dengan efisien, generasi muda kita akan bebas dari dibelenggu masalah sosial serta melonjak kemampuan masyarakat tempatan untuk menjadi komuniti madani. Semoga iltizam dalam membawa diri, masyarakat dan juga negara kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain dapat dihasilkan dan memebri manfaat kepada kesejahteraan hidup rakyat sejagat.
JEMPUT SERTAI KEM MOTIVASI ANJURAN D’IMPIAN TRAINING & CONSULTANCY UNTUK SEKOLAH -SEKOLAH DI NEGERI JOHOR
SILA HUBUNGI KAMI UNTUK PERTANYAAN LANJUT:
MOBILE/WHATSAPP:
014-969 5452 (ENCIK RAZMAN)
011-162 85534 (CIK LYZA)